Sejarah kewujudan kampung Tebelu adalah bermula dari seorang berbangsa Iban yang bernama ”Tablu”. Dia merupakan orang pertama yang menemui kawasan penempatan ini hasil penghijrahannya menyusuri laut besar iaitu Laut China Selatan. Kemudiannya kawasan yang tidak berpenghuni dan bersemak ini telah menjadi sebuah perkampungan apabila semakin bertambah bilangan penduduknya yang terdiri daripada orang Melayu dan Iban datang dan menetap di kampung ini. Kebanyakan orang Melayu lebih berminat tinggal di kawasan pinggiran Sungai manakala orang Iban pula telah berpindah ke hulu kerana mereka lebih gemar tinggal di kawasan berbukit. Memandangkan tempat ini tidak diberi nama maka orang pada zaman itu telah berpakat memberi nama kampung ini sebagai Tebelu. Bermula saat itu dan hingga ke hari ini dikenali sebagai Kampung Tebelu bersempena dengan nama orang yang pertama membuka tempat ini.